September 23, 2022

Kisah Tokoh Agung Bernama Zulkarnain

Kisah Tokoh Agung Bernama Zulkarnain | Dalam surah al-Kahfi, Allah SWT memperkenalkan seorang tokoh agung zaman silam digelar `Zulkarnain', yang sehingga kini menjadi misteri kepada manusia.

Penyelidik terus mencari siapakah tokoh itu dalam sejarah silam dan banyak kajian serta penyelidikan arkeologi dijalankan bagi merungkai teka-teki itu. Akan tetapi, selepas ratusan tahun berusaha, masih tiada jawapan pasti dikemukakan menyebabkan identiti dan hampir keseluruhan sejarah hidup Zulkarnain kekal misteri.

Kisah Tokoh Agung Bernama Zulkarnain

Kisah Zulkarnain Dalam Surah al-Kahfi


Hanya sedikit saja kisah Zulkarnain diceritakan Allah SWT iaitu menerusi surah al-Kahfi yang bermaksud: 

"Mereka akan bertanya kepadamu (Muhammad) mengenai Zulkarnain. Katakanlah: `Aku akan bacakan kepadamu cerita mengenainya'. Sesungguhnya Kami memberi kekuasaan kepadanya di (muka) bumi, dan Kami memberikan kepadanya jalan (untuk mencapai) segala sesuatu, maka dia pun menempuh suatu jalan.
 
"Hingga apabila dia sampai ke tempat terbenam matahari, dia melihat matahari terbenam di dalam laut berlumpur hitam dan dia mendapati di situ segolongan umat. Kami berkata: "Hai Zulkarnain, kamu boleh menyeksa atau boleh berbuat kebaikan terhadap mereka." Berkata Zulkarnain: "Adapun orang yang aniaya maka kami kelak akan mengazabnya dengan azab yang tidak ada taranya." (ayat 83 hingga 87).

"Kemudian dia menempuh jalan (yang lain). Hingga apabila sampai ke tempat terbit matahari (Timur) dia mendapati matahari itu menyinari segolongan umat yang Kami tidak menjadikan bagi mereka sesuatu yang melindunginya dari (cahaya) matahari itu," (ayat 89 dan 90).

"Kemudian dia menempuh suatu jalan (yang lain lagi). Hingga apabila dia sampai antara dua gunung, dia mendapati di hadapan kedua bukit itu suatu kaum yang hampir tidak mengerti pembicaraan. Mereka berkata: `Hai Zulkarnain, sesungguhnya Yakjuj dan Makjuj itu orang yang membuat kerosakan di muka bumi, maka dapatkah kami memberikan sesuatu pembayaran kepadamu, supaya kamu membuat dinding antara mereka?".

Zulkarnain berkata: "Apa yang dikuasakan Tuhanku kepadaku terhadapnya adalah lebih baik, maka tolonglah aku dengan kekuatan (manusia dan alat-alat), agar aku membuatkan dinding antara kamu dan mereka, berilah aku potongan-potongan besi." "Hingga apabila besi itu sama rata dengan kedua (puncak) gunung itu, berkatalah Zulkarnain: "Tiuplah (api itu)." Hingga apabila besi itu sudah menjadi (merah seperti) api, dia pun berkata: "Berilah aku tembaga (yang mendidih) agarku tuangkan ke atas besi panas itu.
dinding antara kamu dan mereka, berilah aku potongan-potongan besi

"Maka mereka tidak boleh mendakinya dan mereka tidak boleh (pula) melubanginya. Zulkarnain berkata: "Ini (dinding) adalah rahmat daripada Tuhanku, maka apabila sudah datang janji Tuhanku, Dia akan menjadikannya hancur luluh; dan janji Tuhanku itu adalah benar." (ayat 92 hingga 98).

Peranan Zulkarnian Besar


Walaupun tidak banyak sejarah hidup tokoh itu diketahui, secebis kisah berkenaan sudah menjelaskan bahawa peranan Zulkarnain di muka bumi ini amat besar sekali.

Beliau bertanggungjawab membina tembok menghalang Yakjuj dan Makjuj mendatangkan angkara kepada manusia. Tembok itu hanya akan runtuh apabila dunia hampir kiamat.

Al-Quran tidak menjelaskan secara terperinci mengenai Zulkarnain tetapi kitab suci itu memberikan petunjuk mengenai peribadi tokoh itu.

Antaranya Zulkarnain adalah pemerintah agung berperibadi mulia, adil, beriman kepada Tuhan yang satu, pembebas kezaliman dan penegak keadilan. Beliau mengembara menuju arah barat sebelum ke timur dan meneruskan perjalanannya ke kawasan pergunungan.

Berbekalkan petunjuk al-Quran, penyelidik mencari tokoh silam yang memiliki ciri sedemikian dan hasilnya, tiga tokoh lampau dikaitkan sebagai Zulkarnain.


Alexander The Great

Alexander The Great


Pada peringkat awal, ramai menyangka Zulkarnain ialah Iskandar dari Macedonia yang turut digelar `Alexander The Great'.

Iskandar yang dilahirkan sekitar tahun 356 Sebelum Masihi (SM) ialah pemerintah Macedonia yang menyatukan negeri di Yunani selepas kerajaan itu diwarisi daripada bapanya.

Beliau kemudian meluaskan jajahan ke Timur dan Barat sehingga dikatakan sebahagian besar negeri di dunia makmur di zaman pemerintahannya.

Iskandar dikatakan lemah lembut, pintar, berani dan berwawasan jauh. Pengembaraan Iskandar dikatakan menepati ciri geografi dalam surah al-Kahfi.

Bagaimanapun, ada pengkaji menyangkal Iskandar ialah Zulkarnain kerana beliau menyembah banyak dewa Yunani dan sering berpesta, minum arak, malah memiliki lelaki sebagai kekasihnya.


Kisah Kursy al-Farisi

Kursy al-Farisi


Berbanding Iskandar, penyelidik lain menyatakan peribadi dan pengembaraan Zulkarnain lebih menyamai raja Parsi iaitu Kursy al-Farisi atau turut digelar `Cyrus The Great' Kursy berkuasa dari 559 SM hingga 529 SM iaitu kira-kira 200 tahun sebelum kelahiran Iskandar.

Beliau berjaya menyatukan kembali kerajaan `Ldya' dan `Midya' dan menjadi pemerintah Parsi pertama.

Pengembaraan Kursy turut bertepatan dengan faktor geografi surah al-Kahfi dan terdapat lokasi pengembaraan pemerintah Parsi itu menyerupai lokasi tembok Yakjuj dan Makjuj.

Dari sudut peribadi, Kursy menyembah satu Tuhan, berpekerti mulia, beramal soleh dan adil.

Pemerintah Zaman Nabi Ibrahim AS


Selain Iskandar dan Kursy, pendapat lain mengatakan Zulkarnain seorang pemerintah pada zaman Nabi Ibrahim AS.

Raja itu pernah bertawaf di Kaabah bersama Nabi Ibrahim, malah membantu rasul itu mendapatkan kembali telaga baginda yang dirampas pihak tertentu.

Bagaimanapun, tidak banyak sumber sahih mengenai raja berkenaan menyebabkan ia sukar dikaitkan sebagai Zulkarnain berbanding Kursy.


EmoticonEmoticon