December 08, 2019

Panduan Solat Bagi Orang Sakit / Uzur di Rumah atau Hospital

Panduan Solat Bagi Orang Sakit / Uzur di Rumah atau Hospital

Kenapa Anda Yang Harus Sakit?

Sakit merupakan suatu anugerah, nikmat dan mungkin juga suatu ujian sebagai kifarah untuk menyucikan dosa-dosa anda. Oleh itu, bersyukurlah kerana nyawa anda masih ada. Anda masih dikasihi dan diberikan nikmat untuk bernafas. Adakah seseorang yang sihat itu dikasihi oleh Allah SWT? Adakah Allah SWT mengasihi orang-orang yang syirik dan berbuat maksiat kepadaNya? 

Sepatutnya merekalah yang ditimpakan musibah ini, bukannya anda! Adakah Allah SWT membenci Nabi Muhammad SAW sehingga Baginda menempuh pelbagai penyeksaan dan azab sengsara ketika menyampaikan dakwah islamiyah?

Jawapannya pasti tidak.

Sebenarnya Allah SWT memang bersifat Pemurah. Kesihatan bukanlah tanda Allah SWT sayang kepada seseorang. Tetapi orang yang disayangi oleh Allah SWT ialah orang yang sentiasa bersabar apabila ditimpa musibah dan bersyukur apabila memperolehi kenikmatan kerana Allah SWT ingin mengurniakan darjat dan martabat iman dan taqwa kepada hambaNya yang terpilih.

Perlukah Anda Menunaikan Solat Ketika Sakit?

Ya! Selagi jantung anda masih berdegup, selagi nyawa dikandung badan, selagi itulah anda wajib bersolat. Solat adalah tanda hubungan hamba dengan Penciptanya. Tanpa solat, maka putuslah hubungan itu dan bertambah jauhlah rahmat Allah SWT dari anda.

Bagaimana Membersihkan Najis Ketika Sedang Sakit?

  • Bersihkan diri anda dari najis sekadar yang termampu.
  • Najis yang sukar dibersihkan seperti darah dan nanah yang terdapat pada badan dan pakaian adalah dimaafkan.
  • Begitu juga dengan najis yang sentiasa keluar seperti kencing, darah dan nanah. Ia hendaklah dibersihkan dahulu sebelum berwudhu’ atau balutlah jika boleh dibalut
  • Jika anda sedang solat dan tetap keluar najis tersebut, itu tetap dimaafkan. 

Bagaimana Dengan Aurat Dan Kiblat Untuk Solat?

  • Aurat hendaklah ditutup sekadar yang terdaya dengan menggunakan selimut, tuala, stokin dan sebagainya.
  • Hendaklah mengadap kiblat sekadar yang mampu. Jika perlu, alihkan katil ke arah kiblat (sekiranya boleh dialihkan dan mendapat bantuan kakitangan wad).
  • Jika tidak mendapat bantuan, hadaplah ke mana sahaja.

Di Mana Anda Boleh Bersolat Ketika Sakit?

  • Solatlah di surau wad jika mampu.
  • Solatlah di mana-mana sahaja asalkan ianya suci dari najis.
  • Memadai jika bersolat di tepi katil jika itu yang termampu. Gunakanlah apa jua alas seperti surat khabar dan kertas asalkan ianya suci dari najis.

Keadaan Yang Mengharuskan Pesakit Berwudhu’ Menggunakan Water Spray (Penyembur Air )

  • Pesakit yang mengalami masalah pergerakan disebabkan patah tulang (kaki/ tulang belakang dan sebagainya).
  • Pesakit yang terlantar di atas katil sepanjang masa.
  • Pesakit yang berbalut (simen dan sebagainya) pada bahagian kaki.

* Pastikan anggota wudhu’ suci dari najis dan hadas (mengikut sekadar kemampuan)




Tayammum

Rukun Tayammum

1. Niat bertayammum.
2. Menyapu debu tanah ke muka.
3. Menyapu debu tanah kedua belah tangan hingga ke siku.
4. Tertib.

Syarat Sah Tayammum

1. Menghilangkan najis terlebih dahulu.
2. Debu tanah yang suci.
3. Bukan dari debu tanah yang musta’mal (yang telah digunakan).
4. Ada qasad (niat) penggunaan debu tanah.
5. Menyapu muka dan dua tangan hingga ke siku dengan dua kali tepuk. Tepukan pertama bagi muka dan tepukan kedua bagi tangan.
6. Pastikan terlebih dahulu arah kiblat.
7. Bertayammum apabila telah masuk waktu solat.
8. Satu tayammum bagi satu solat fardhu dan beberapa solat sunat.

Sebab - Sebab Bertayammum

1. Ketiadaan air setelah berusaha mencarinya.
2. Ada air tetapi hanya mencukupi untuk keperluan makan dan minum.
3. Boleh membahayakan kesihatan dan nyawa sekiranya menggunakan air.







Bagaimana Solat Ketika Sakit?


Solat Sambil Duduk
  • Keadaan duduk adalah seperti duduk antara 2 sujud.
  • Mengadap kiblat.
  • Niat, takbir, sujud dan duduk tahiyat awal/akhir adalah sama seperti solat biasa.
  • Rukuk dilakukan dengan menundukkan kepala sehingga kedudukannya bertentangan dengan tempat sujud.
  • Iktidal pula dilakukan dengan mengangkat kepala tegak semula.
  • Sujud seperti biasa. Namun, jika tak mampu, bolehlah dengan menundukkan kepala rendah sedikit daripada tunduk ketika rukuk.

Solat Baring Mengiring
  • Mengiring di atas rusuk kanan.
  • Muka dan dada mengadap kiblat.
  • Rukuk dan sujud dilakukan dengan cara menunjukkan isyarat kepala. Tundukkan kepala semasa rukuk, sementara sujud dilakukan dengan menundukkan kepala lebih rendah daripada ketika rukuk.
  • Jika tidak mampu, bolehlah menggunakan isyarat kelopak mata bagi rukuk, manakala sujud dengan isyarat menutup mata.

Solat Baring Melentang
  • Baring melentang dan kakinya diluruskan ke arah kiblat
  • Tinggikan sedikit kepala dengan menggunakan bantal (atau seumpamanya) supaya muka mengadap kiblat.
  • Rukuk dan sujud dengan isyarat kelopak mata seperti dalam suasana solat mengiring di atas
  • Jika tidak terdaya, bolehlan rukuk dan sujud dengan cara lintasan (niat) di hati dengan mengingati setiap perbuatan dalam solat.
  • Tangan diangkat seperti biasa ketika takbir. Jika tidak berdaya, memadai dengan ucapan Allahu Akbar sahaja.

Solat Secara Melakukan Isyarat Kelopak Mata
  • Berada dalam keadaan berbaring sambil terlentang.
  • Kaki menghala ke arah kiblat.
  • Rukuk dilakukan dengan menggerakkan kelopak mata, manakala sujud pula dilakukan dengan memejamkan mata.

Solat Secara Ingat Di Dalam Hati
  • Menggerakkan ingatan di dalam hati menurut tertib solat.

Solat Jamak

Maksud jamak ialah menghimpun.
Syara’ memberi kemudahan kepada orang yang uzur dalam bentuk menggabungkan dua solat fardhu dalam satu masa untuk mengurangkan tekanan, kesukaran, kesakitan dan sebagainya.
Harus menggabungkan dua solat dalam satu waktu (Zohor dengan Asar, Maghrib dengan Isyak).
Boleh melaksanakan solat secara taqdim (waktu solat kedua dilakukan dalam waktu solat pertama) atau ta’khir (waktu solat pertama dilaksanakan dalam waktu solat ke dua)
Hendaklah berniat melakukan solat Jamak Taqdim atau Ta’khir pada

Takbiratul Ihram solat yang pertama.
Dilakukan apabila diyakini :
1. Mengalami kesakitan yang amat kritikal.
2. Kesukaran proses mengambil wuduk/ tayammum.
3. Tidak sedar (akibat kesan pelalian) terhadap salah satu waktu solat tersebut.
4. Waktu pembedahan/ rawatan yang mengambil masa terlalu lama.

Solat Qasar

  • Maksud qasar ialah memendekkan sesuatu.
  • Menurut syarak ia adalah kemudahan memendekkan empat rakaat solat kepada dua sahaja dan dihukumkan harus kerana menjalani rawatan penyakit-penyakit kronik di hospital.



Anda boleh memuatturun Panduan Ibadah Solat Pesakit di Sini


EmoticonEmoticon